Tuesday, April 2, 2019

KEKUATAN INOVASI

Berdasarkan pengalaman pratikum fasa 1, saya telah menyenaraikan beberapa masalah yang terjadi kepada murid sejarah sekolah rendah seperti murid bosan belajar sejarah, sukar memahami sejarah, mengantuk, pasif, tidak menyeronokkan dan terlalu naratif tanpa unsur maujud. Oleh itu, produk ini dihasilkan adalah untuk menyelesaikan masalah tersebut terutamanya kepada murid lemban (slow learner). Setelah membuat proses pemilihan topik, saya telah menghasilkan produk inovasi yang berkaitan dengan pengajaran topik Negeri-Negeri di Malaysia bagi murid-murid tahun 6 subjek Sejarah.

Saya juga telah merancang beberapa aplikasi yang akan digunakan dalam penghasilan produk melibatkan digital seperti augmented reality, kahoot, qr code dan metaverse. Interaktif Map of Malaysia (IMoM) merupakan suatu ABM yang berteraskan kepada produk inovasi yang menggabungjalinkan bahan maujud (peta Malaysia) dan teknologi (digital) dalam satu masa untuk menghasilkan Alat Bantu Mengajar (ABM) yang berkesan kepada murid lembam. Kebiasaannya, murid lembam seringkali keliru untuk memahami semua fakta sejarah apabila guru menyampaikannya menggunakan buku teks dan gambar pegun semata-mata. Murid sukar untuk mencerna isi pembelajaran yang dipenuhi pelbagai fakta dalam satu masa menyebabkan mereka cepat merasa bosan. Kajian lepas mendapati bahawa isi pengajaran dan pembelajaran yang dipenuhi dengan fakta dan jalan cerita yang meliputi pelbagai kronologi telah menyukarkan pelajar untuk memahami dan meminati mata pelajaran Sejarah.
Selaras dengan keperluan pembelajaran abad kini, penggunakan TMK adalah penting sebagai salah satu inisiatif yang kreatif dalam mewujudkan proses PdP yang lebih efektif pada masa kini. Penggunaan perisian multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas merupakan salah satu alat bantu mengajar (ABM) yang dapat membantu guru dalam meningkatkan minat dan prestasi pelajar dalam sesuatu mata pelajaran. Rasional penggunaan ABM ini juga adalah untuk mempelbagaikan lagi kaedah pembelajaran di dalam kelas. Penggunaan ABM maujud digabungjalinkan dengan teknologi terkini mampu untuk menguji kefahaman murid lembam melalui video-video, gambar, muzik dan aktiviti yang disediakan oleh guru. Bahan-bahan yang disediakan bukan sahaja mampu dilaksanakan dengan bimbingan guru, malah juga boleh dilakukan oleh murid sendiri mengikut manual penggunaan yang ditetapkan.

Justeru itu, Interactive Map of Malaysia (IMoM) yang direka adalah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam proses PdPc terutamanya kepada murid Slow Learner. Hal ini kerana Murid Berkeperluan Khas (MBK) seperti ini harus diberikan PdPc yang aktif dan tidak terlalu naratif penceritaanya serta tidak tinggi tahapnya isi kandungannya. Ciri-ciri murid lembam adalah seperti pencapaian kognitif sedikit perlahan, pediam tidak aktif, sukar menerima arahan dan tidak dapat berkomunikasi seperti biasa dengan murid-murid lain. Justeru itu, matlamat ABM ini adalah untuk meningkatkan keyakinan mereka mengikut kesesuaian tahap akademik, menjadikan mereka lebih aktif serta memberikan murid ini selesa tanpa tekanan dalam mencapai objektif pembelajaran.

Antara faktornya ialah ABM ini telah menggabungjalinkan bahan digital dengan unsur maujud iaitu peta Malaysia yang sangat besar. Oleh itu, murid lembam boleh menyentuh, memegang, memadankan gambar, dan berinteraksi dengan bebas dengan bantuan guru. Justeru ini, pendekatan sebegini telah menyokong pembelajaran berpusatkan murid serta menggalakan aktiviti hands-on learning. Bahan inovasi yang fleksibal seperti ini amat mudah dikendalikan oleh murid lembam kerana tidak begitu kompleks seperti kebanyakan alat digital yang lain.

Selain itu, ABM peta interaktif ini amat sesuai dengan tahap mental kognitif dan fizikal murid lembam. Manual penggunaan yang mudah amat bersesuaian dengan tahap murid ditambah pula murid lembam tidak perlu bersusah payah untuk membaca dan mengira kerana kesemua maklumat dan informasi penting disampaikan melalui gambar, peta, video dan audio tanpa ada tulisan. Hal ini kerana murid lembam amatlah tidak suka untuk membaca perkataan yang panjang dan kompleks apatah lagi tulisan yang naratif.
Selain itu, bahan maujud yang dicipta adalah bewarna-warni serta dapat disentuh oleh murid. Hal ini dapat menggalakan pergerakan aktif (hands-on) dalam kalangan murid lembam kerana mereka ini biasanya agak pemalu dan pasif. Aktiviti yang disediakan membolehkan mereka cuba meneroka mencari jawapan, sekali gus menggalakan pembelajaran kendiri di mana murid lembam bergerak untuk membina pengetahuan sendiri. Oleh itu, diharapkan aktiviti sebegini dapat meningkatkan tahap pengetahuan mereka agar menjadi lebih jangka panjang.
Di samping itu juga, ABM ini melibatkan perisian augmented reality, di mana murid lembam dengan bantuan guru akan menyemak (scanning) pada gambar kemudian akan ditayangkan video yang berkaitan (informasi). Video yang ditayangkan ini akan menarik minat murid lembam kerana mereka tidak boleh melihat gambar pegun semata-mata kerana fokus serta tumpuan mereka mudah terjejas. Melalui animasi yang menarik, disertakan dengan lagu-lagu audio telah menggalakan pembelajaran melalui pancaindera pandang-dengar. ABM yang menggunakan pendekatan pandang-dengar seperti ini akan meningkatkan minat serta tumpuan murid lembam.

Tambahan pula, ABM ini dapat digunakan berulang kali kerana sifatnya yang mudah alih (mobile), dan tahan lama. Oleh itu, ABM ini besesuaian dengan murid lembam kerana mereka perlu menjalani latihan dan aktiviti yang berulang-ulang dalam mencapai satu objektif yang digariskan dalam Rancangan Pengajaran Individu (RPI). Murid lembam juga tidak akan bosan menjalani aktiviti dan topik yang sama sahaja setiap kali menggunakan ABM ini kerana ABM ini didatangkan dengan 4 subtopik yang pelbagai iaitu menyentuh mengenai Jata Negeri, Bendera Negeri, Ibu Negeri dan tempat-tempat menarik bagi setiap negeri. Setiap satu subtopik dalam RPI akan mengambil masa tiga jam iaitu lebih kurang seminggu ke dua minggu pembelajaran bagi murid lembam. Oleh itu, ABM ini besesuaian untuk digunakan dalam tempoh jangka panjang kerana tidak terhad kepada satu topik kecil sahaja.

Tambahan pula, ABM yang dihasilkan ini juga mudah dikendalikan kerana sifatnya yang tidak begitu kompleks seperti kebanyakan ABM yang berunsurkan teknologi. Manual penggunaanya agak mudah dan bersesuaian dengan murid lembam. Sekiranya terdapat kesilapan atau kealpaan dalam proses menggunakan ABM ini dalam kalangan murid lembam, ABM ini tidak akan mencederakan murid. Seterusnya, bahan yang dihasilkan amatlah mesra alam serta bersifat lestari kerana bahan tidak menggunakan unsur yang merbahaya serta memudaratkan alam sekitar. Bahan-bahan terpakai juga dapat diaplikasikan dan digunakan dalam pembinaan ABM ini. Dalam pada masa yang sama, dalam proses penghasilan ABM ini, saya telah menggunakan kadar kos yang amat minimum iaitu tidak mencecah RM30. Manakala, perisian seperti Aurasma, Metaverse dan QR Code boleh didapati dengan percuma.

Justeru itu, jelaslah bahawa penciptaan ABM yang berunsurkan inovasi digital ini dapat memberikan satu pengalaman yang menarik kepada murid Lembam. Mereka akan terus bergiat secara aktif di dalam kelas, bekerjasama, menonjolkan diri, dan memberikan tumpuan yang mendalam dalam menyelesaikan aktiviti yang terkandung dalam ABM ini. ABM ini bukan sahaja menguntungkan murid lembam, malahan turut membantu murid aliran perdana kerana terdapatnya elemen bahagian soalan-soalan yang mencabar di akhir sesi penggunaan ABM. Oleh itu, ABM ini bersesuaian untuk murid lembam mahupun murid daripada aliran perdana kerana terdapatnya unsur kesukaran yang menguji tahap kognitif murid.

Akhir sekali, dapat disimpulkan bahawa penggunaan ABM IMoM ini akan membantu murid masalah pembelajaran lembam kerana matlamat utama ABM ini supaya murid kekal memberikan tumpuan dan menggalakan pembelajaran yang aktif kerana murid lembam biasanya merendah diri, pemalu dan lambat dari aspek pemahaman. Justeru itu, latihan yang dilakukan oleh murid lembam dan pengulangan penggunaan ABM ini akan menambahkan pengetahuan dan meningkatkan ingatan murid lembam dalam jangka panjang. Tambahan pula, guru bertindak sebagai pemudahcara dan membantu murid lembam supaya lebih berminat untuk belajar dan berasa seronok apabila berada dalam bilik darjah.

No comments:

Post a Comment